Powered By Blogger

Saturday, 19 March 2011

bila ia akan berakhir?

Usai membaca akhbar pedana hari ini, saya dilanda rasa sayu dan sebak..jua diselangi amarah dan geram.mengapa tajuk akhbar hari ini masih menukilkan tentang pembuangan bayi.
Mungkinkah selepas ini, kita akan hilang sensitiviti tentang pembuangan bayi, sebagaimana hilangnya sensitiviti kebanyakan kita tentang maksiat. Pada awal kemunculan golongan remaja muda mudi bernoda maksiat zina, ramai yang menentang, ramai yang melontarkan komen dan kritikan, tetapi lama-kelamaan apabila barah maksiat ini sudah menjelajah ke seluruh tubuh masyarakat, ia seakan-akan sesuatu yang diterima. Masakan tidak, lihat sahaja ibubapa juga kian tidak endah apabila anak mereka tidak segan silu membawa pacar pulang ke rumah. Malah hingga dibawa ke dalam rumah walaupun belum ada ikatan yang sah.
Nah, lihatlah kini hasil maksiat yang bermaharajalela tersebut, lahirlah pula fenomena membuang bayi. Maka apabila perkara ini sudah lali didengar oleh masyarakat, hilanglah rasa sensitif pada perkara tersebut. Mungkin di satu ketika nanti kita cuma akan berkata 'alah,biasalah buang bayi,apa nak dikecohkan'...Ya...apabila hilang sensitiviti kita pada sesuatu perkara, maka satu lagi jenayah dosa akan dihalalkan. Saya tidak mahu pekara seumpama ini berlaku, saya pasti anda jua tidak mahu begitu.
Jadi apakah peranan kita dalam menangani kebejatan sosial masyarakat yang tidak tahu dari mana untuk kita ubah. Sebenarnya biarlah kita semua memainkan peranan tersebut, kerana masa depan kita adalah di tangan negara kita sendiri. Mungkin ibubapa kini perlu dihantar kursus mendidik anak-anak zaman kini, kerana kegagalan ibubapa mendidik anak dengan sempurna, adalah faktor utama menyumbang ke arah fenomena ini. Mana mungkin kita salahkan teknologi, atau persekitaran yang menjadi puncanya, kerana segala-galanya bermula daripada rumah.Keluarga yang elok pasti menghasilkan masyarakat yang baik. Apabila baik sesuatu masyarakat, persekitarannya jua akan menjadi baik. Maka, tidak perlu dirisaukan akan persekitaran yang dihadapi oleh anak-anak apabila semua keluarga mendidik anak-anak dengan persekitaran yang baik.
Ayuhlah para ibu dan bapa, didiklah anakmu mengenal syurga dan neraka, kerana itulah asas membina bahagia, kenalkan anak-anak dengan dosa dan pahala, kenalkan mereka dengan Pencipta Yang Maha Esa, agar mereka tidak lupa diri bila berdepan masalah dunia. 
Budaya AmarMakruf dan Nahi Mungkar perlu dihidupkan semula, sifat menjaga tepi kain orang perlu ada untuk kemaslahatan bersama, agar semua menikmati suasana masyarakat yang bebas maksiat.Semoga tiada lagi berita pembuangan bayi ini di dada akhbar suatu hari nanti.

1 comment:

  1. kurangnya ilmu dan iman..semoga ia tidak terjadi pada keluarga kita...

    ReplyDelete